Showing posts with label KISAH. Show all posts
Showing posts with label KISAH. Show all posts

Sunday, 5 April 2015

(Seram) Kisah Rumah Sewa Berhantu Di Seksyen 2 Shah Alam


Kisah Benar Rumah Sewa Berhantu Di Seksyen 2 Shah Alam [Super Seram 18 PL] | Pagi ni terbaca Kisah Benar Cerita Seram yang berlaku kat Seksyen 2 Shah Alam. Al-Fatihah kepada arwah Naim dan Salleh (nama dlm cerita ni). Semoga roh arwah Naim dan Salleh dirahmati ALLAH. Kepada penulis asal cerita ini...terima kasih la kongsi cerita ni..Kepada pembaca, cerita ini agak panjang....Cerita di bawah telah dibakukan supaya senang paham

TRUE STORY!!

9 tahun lepas aku dapat sambung belajar di UiTM Shah Alam. Jadi perkara pertama yang perlu difikirkan adalah tempat tinggal sebab aku tidak dapat hostel. Oleh sebab kerajinan & keprihatinan aku dan kawan-kawan,maka dapatlah kami rumah sewa, berdekatan seksyen 2. Berhampiran dengan Wet World [kalau korang tahu la].

Rumah tu banglo 2 tingkat 4 bilik. 3 bilik dekat atas dan 1 bilik dekat bawah. Kami semua berlapan,kiranya 2 orang untuk 1 bilik lah. Aku ringkaskan sajalah, kami masuk rumah tu dengan perasaan berbelah bahagi; gembira, suka, pelik, rimas, takut semua ada.

Pertama,tuan umah hanya kutip rm50 saja sebagai deposit dan sewa pertama hanya bayar bila masuk bulan kedua kami duduk rumah tu. Kiranya bulan pertama percuma lah....[?]
Kedua,tuan rumah tak bagi kami bawa barang banyak-banyak sebab nanti penat nak angkat balik, terangnya...
Ketiga,pokok ara tepi umah tu sangat besar sampai dahannya boleh masuk tingkap bilik atas.

Malam pertama duduk rumah tu kami tidak tidur sebab sibuk punggah dan kemas barang serta layan serta layan dvd korea. Cerita seramnya berlaku semasa hari kedua. Tak payah nak tunggu malam, siang-siang pun kami dah kena kacau. Azmi "dagu" orang pertama kena.

Masa tu baru pukul 10.30 pagi [anggaran aku la], si Azmi ni bangun nak buang air besar. Jadi dia pergilah bilik air di bawah tu tapi ada orang di dalam [sebab pintu tertutup]. Bilik air atas rosak, tuan umah kata nanti dia akan betulkan. Tunggu punya tunggu, tak keluar-keluar orang dalam tandas tu. Jadi Azmi ni memekik la suruh cepat sikit keluar sebab dia tak tahan. Akibat jeritan si Azmi ni, habis satu rumah bangun pergi tengok apa hal. Yang peliknya, kami berlapan semua ada, habis siapa dlm tandas ni? Pintu tandas berkunci siap ada bunyi orang flush jamban lagi. Dalam ramai-ramai ni,Lan seorang saja yg berani sikit [mungkin fasal dia ni keturunan bugis], dia rentap pintu tandas tu sampai terbuka. Tak ada orang tapi daripada kesan yang ada,pintu tu memang dikunci daripada dalam. Akhirnya Azmi tak jadi berak, mungkin sebab takut.

Malam tu kami kena lagi teruk.

Masa aku nyenyak tidur malam tu tiba-tiba ada orang tarik kedua-dua belah kaki aku sampai aku terjatuh katil. Kepala aku terhentak dulu di lantai! Apa lagi,angin la aku sebab ingat budak-budak nak main-mainkan aku tapi bila bangun tak nampak orang pulak. Yang ada cuma Lan yang tengah membuta dekat katil atas. Aku tak rasa Lan yang buat sebab mesti dia tidur mati. Bila aku keluar bilik, aku dengar budak-budak tengah ketawa. Rupanya diaorang tengah layan dvd dekat hall bawah. Aku pun masuk bilik balik sebab masih bingung tapi baru ak perasan masa aku tengah jengah ke bawah tadi aku perasan Lan ada!! Bukan ke tadi aku nampak dia tengah membuta dalam bilik? Ahh sudah...
Dengan perasaan berani-berani takut aku tengok atas katil Lan ada bonjol bawah selimut,kiranya macam ada orang lah. Aku tarik kain selimut tu and guess what?
ad a batu nisan yang dah retak dan secara automatik bilik aku diselubungi bau hapak dan hanyir yang menusuk.

Masa ni jangan tanya aku lah apa aku buat sebab kalau benda ni jadi dekat korang pun takkan nak tinggal dalam bilik tu lagi betul tak? Aku rasa kaki aku dah tak jejak tanah sebab lari laju sangat. Aku lari keluar bilik tu dan pergi ke hall sebab nak beritahu kawan-kawan aku tapi yang macam haram jadahnya tak ada seorang pun ada dekat hall. Nak tahu man diorang pergi? Semua dah duduk dekat luar rumah! Rupanya awal-awal lagi diorang dah kena kacau. Yang laknatnya, tak ada seorang pun nak kejutkan aku....taik betul diorang ni.

Lepas diorang tenangkan aku, kami berbincang nak buat apa sebab sekarang sudah pukul 3 pagi. Nak minta tolong tok imam,rumah tok imam pun kami tak tahu. Nak minta tolong jiran, kiri kanan rumah kami cina. Akhirnya Salleh ajak lepak restoran Hakim sampai pagi. Bunyinya macam senang tapi masing-masing semua tak pakai baju dan pakai boxer dengan kain pelekat saja. Mahu tak mahu terpaksalah kami masuk rumah tu balik sebab nak ambil seluar, dompet dan kunci motor.

Oleh sebab bilik Bob dan Naim saja yang ada di bawah, maka kami ambil keputusan nak pinjam baju n seluar mereka. Masing-masing takut nak naik tingkat atas. Dompet pun aku tinggal. Masing-masing berpakat guna duit Naim dahulu. Nasib baik kunci motor kami sangkut dekat dinding [tempat penyangkut]. Masa nak keluar dari rumah tu, Wak perasan ada budak perempuan dekat pintu dapur tengah senyum sambil lambai tangan dekat dia. Aku pun terperasan budak tu juga lepas aku tengok muka Wak bertukar pucat lesi. Senyuman budak tu buat aku rasa macam nak terkincit dalam seluar. Kepala lutut aku menggigil sampailah dekat restoran Hakim!

Lepas sampai restoran Hakim, masing-masing sibuk buka cerita termasuk aku sekali lah. Mula-mula Wak cerita, malam tu lebih kurang pukul 12 lebih,dia sibuk download lagu tiba-tiba ada bunyi macam orang baling batu dekat tingkap bilik dia. Bila dia jengah,dia nampak ada seorang perempuan duduk dekat atas pokok kayu ara sebelah rumah tu, pakai baju putih kekuningan dan koyak-koyak dengan rambut panjang. Yang sadisnya,perempuan hodoh tu boleh senyum dekat dia pulak. Wak ni apa lagi terus tutup tingkap dan keluar pergi bilik dia n terus pergi bilik aku lah kononnya. Malangnya, lagi seekor hantu pulak duduk dekat depan pintu bilik dia tapi kali ni hantu budak. Jadi dia ambil keputusan terjun tingkap bilik dia ke bawah. Akibatnya, kaki dia terkehel. Nasib baik tak patah.

Azmi "dagu" pula cerita dia nampak ada budak perempuan lambai tangan dekat dia [yang ini, aku pun kena juga ok]. Aku pasti budak itu bukan manusia sebab dia tak ada kaki! Sam pula cerita dia nampak hantu tu dekat siling umah! Bila buka saja mata, hantu itu betul-betul "eye to eye" dengan dia. Kiranya semua kena kacau lah ni. Dan aku orang akhir sekali cerita. Aku cakap lah dua-dua kaki aku kena tarik masa tidur sampai kepala aku terhentak dekat lantai. Lepas itu aku cakap lah yang aku nampak diorang tengah layan dvd dekat Hall tapi Azmi tiba-tiba menyampuk "Bila masa pulak kami tengok dvd ?". Rupa-rupanya tiada seorang pun yang tengok dvd pagi tersebut! Jadi, siapa yang aku nampak?! Haru betul.....kaki aku yang dari tadi menggigil makin bertambah kuat gigilnya.

Tengah sibuk berborak,aku terbau sesuatu yang kurang enak. Kawan-kawan aku yang lain pun terbau juga. Rupanya Azmi ni tadi dah terkencing dalam seluar sebab takut sangat. Nasib baik malam tu tak ramai sangat orang dekat Restoran Hakim tu. Malu betul! Aku pulak ternampak Sam pakai selipar sebelah lain. Daripada sibuk-sibuk bercerita seram terus jadi cerita kelakar pulak.

Tengah ketawa, baru kami perasan Salleh dengan Naim tak ada bersama kami. Yang ada cuma kami berenam. Aku, Azmi Dagu, Sam banjar,Wak, Bob dengan Lan. Dalam ramai-ramai tu cuma Bob seorang yang bawa HP, jadi kami cuba telefon Naim tapi tak ada orang angkat. Telefon Salleh pula, sama juga tak ada orang angkat. Kemudian Lan ambil HP Bob tu, dia baca apa entah agaknya lepas tu tahu apa jadi? Dengar suara perempuan menggilai! Gila-gila punya ngilai sampai meremang bulu roma aku. Kami berenam terus terdiam. Akhirnya kami sepakat akan tunggu sampai pagi esok baru balik rumah itu semula dan cari Naim dengan Salleh. Lepas dengar suara perempuan menggilai dalam HP tu, tiada seorang pun yang buka mulut sehinggalah subuh!

Pukul 7.30 pagi baru kami blah dari Hakim. Hati aku masih lagi kuat berdebar-debar. Yang lain-lain aku tahulah. Sampai dekat depan rumah, aku tengok pintu rumah dengan pagar terbuka seluas-luasnya. Kalau pencuri masuk ni, memang dia akan kaya sebab laptop, wallet dengan HP kami semua dibiarkan macam itu saja. Bulu tengkuk aku masih lagi meremang. Tak ada seorang pun berani masuk rumah itu dahulu Aku ingat, ada lah 20-30 minit kami duduk tercangak-cangak dekat depan rumah sebab tak berani masuk. Entah macam mana agaknya HP Bob berbunyi.
Hati aku da x sedap. Jangan la kata hantu tu yang telefon masuk umah. Lan angkat. Sebenarnya dalam ramai-ramai, Lan lah yang paling berani tapi kadang-kadang penakut juga lah. Pihak hospital telefon, katanya Naim ada di wad kecemasan hospital Klang. Kemalangan katanya. Pihak hospital kata, ada miss call dari nombor hp Bob, sebab itu dia telefon nombor Bob. Oooo baru aku faham. Yang peliknya Naim kemalangan?

Masing-masing serba salah jadinya. Bingung pun ya juga. Tak tahu sama ada nak melawat Naim di hospital Klang atau cari Salleh yang hilang. Akhirnya kami telefon tuan rumah untuk tengok apa yg patut. Aku dengan Sam pulak pergi hospital Klang tengok keadaan Naim. Kalau memang tenat sangat, aku akan beritahu yang lain suruh datang. Yang lain aku suruh cari Salleh keliling umah, takut-takut dia kena sorok. Kami masing-masing hanya bertawakal. Masa dalam perjalanan ke hospital Klang, aku pun tak tahu Sam pecut sampai berapa tapi hati aku masih lagi kuat mengatakan bahawa perkara ini belum habis lagi.

Sampai hospital,aku terus cari Naim. Sebak sungguh hati aku tengok keadaan Naim yang parah. Kaki dia teruk. Doktor kata kena lenyek dengan kereta atau sesuatu. Kes langgar lari. Naluri aku kuat mengatakan bahawa umur Naim ni tak panjang sebab darah keluar membuak-membuak. Sam tak sanggup tengok, air mata dia berjurai-jurai keluar. Doktor pun cakap Naim ni sudah nyawa-nyawa ikan, tak dapat nak tolong banyak. Aku duduk tepi Naim, dia boleh bercakap lagi tapi sangkut-sangkut. Dia mintak maaf sebab menyusahkan kami. Berulang-ulang kali dia minta maaf tapi aku masih lagi tak dapat tangkap apa yang dia cakap. Akhirnya dia meninggal juga. Aku gagahkan hati aku telefon kawan-kawan yang lain beritahu kematian Naim. Aku tengok Sam terduduk tepi balkoni dengan mata merah sebab nangis banyak sangat. Tak lama lepas itu keluarga Naim datang. Aku tak anggup nak tunggu lagi dan ajak Sam balik Shah Alam.

Sampai dekat rumah, aku tengok ramai gila orang tengah cari Salleh tapi tak jumpa-jumpa. Habis satu umah digeledah. Akhirnya ada orang tua dekat situ minta tolong dengan seorang ustaz. Aku tak ingat apa nama ustaz itu tapi lepas Asar baru kami jumpa Saleeh duduk dekat atas busut belakang rumah. Yang hairannya, sudah 5,6 kali orang cari tapi tak ada pula jumpa dia dekat situ. Tak kisahlah janji dapat jumpa balik Salleh. Kami semua ambil keputusan pindah dari rumah hari itu juga. Kebetulan dekat seksyen 7 [pintu belakang UITM] ada satu rumah untuk disewa, jadi kami pindah situ lah. Barang-barang Naim kami angkut sekali. Terus terang aku cakap, memang aku angin gila tengok muka tuan rumah sebab tak beritahu yang rumah ini "keras".patut lah dia suruh bayar rm50 saja dulu dan tak bagi bawa barang banyak-banyak. Chisss......

Aku demam 3 hari.

Jenazah Naim selamat dikebumikan di Raub,Pahang.


Seminggu lepas Itu,keadaan sudah ok sikit cuma Salleh saja yang sakit-sakit badan. Akhirnya mulut aku tergerak nak tanya Salleh apa yang berlaku sebenarnya sebab sebelum Naim meninggal dia ada cakap dekat aku suruh tanya Salleh satu rahsia. Rupanya masa hari pertama kami masuk rumah tu, Naim dengan Salleh sudah buat hal. Dia cangkul busut dekat belakang rumah tu. Naim pula kuis-kuis dengan kaki dia. Mungkin sebab itu lah kaki dia parah [dalam hati aku lah]. Kemudian Salleh cerita,kn ada malam yg kitorg satu uma kena kacau tu dia dengan Naim pun kena juga. Tapi hantu tu siap kejar diorang sampai dekat jalan. Diorang punya la cuak sampai lari ke tengah jalan. Entah mana datangnya kereta tiba-tiba hentam mereka. Naim tercampak tengah jalan, dia pulak dekat tepi jalan. Datang kereta lain terus lenyek kaki Naim. Lepas tu, Salleh kata dia terus tak sedar apa-apa sampailah kami jumpa dia atas busut tu. Yang peliknya,macam mana dia boleh duduk atas busut sedangkan dia kata dia lari dekat tengah jalan besar? Kenapa Naim seorang yang kena teruk?

Akhirnya aku dapat jawapan sebenar. Tak lama lepas Salleh cerita dengan aku, dia jatuh sakit. Tak tahulah sakit apa tapi 3 bulan kemudian dia meninggal. Keluarga dia sendiri kebingungan sebab doktor pun tak tahu sakit Saalleh. Tapi aku yakin, kes ni ada kaitan dengan busut yang diorang gali tu. Aku dengan geng-geng aku yang lain sempat ziarah arwah Salleh. Paling tak boleh tahan Bob sebab dia roomate dengan Naim. Memang aku tau dia sedih sangat. Yang tak boleh lupa, kami semua menangis masa angkat jenazah Salleh. Rasa sedih sangat masa tu..

Aku, Azmi Dagu, Sam banjar,Wak, Bob dan Lan, semua sekali selamat habiskan pengajian di UITM. Buat Naim dan Salleh, kami tetap akan ingat korang sampai bila-bila. Al- fatihah

Ops..Rumah banglo dekat seksyen 2 itu sampai sekarang ada lagi [agaknya]. Tiap kali aku lalu kawasan situ mesti aku rasa sedih sangat. Lagi satu,masa hari terakhir kami di rumah tu, Wak tertinggal hp dia dekat bilik atas. Jadi pada siapa-siapa yang berani, boleh lah ambil hp tu tapi itu pun kalau korang berani la...nokia 3310

sumber

Friday, 9 May 2014

KISAH BENAR DI SEBALIK TRAGEDI TENGGELAMNYA KAPAL TLDM KD SRI PERAK



Masih ingatkah tentang tragedi tenggelamnya kapal TLDM KD SRI PERAK? Salah seorang anak kapal yang terselamat....



BEKAS anggota tentera laut, Ismail Abdul Aziz, 54, mahu membukukan pengalaman getir 72 jam yang dilalui oleh mereka yang terselamat apabila kapal KD Sri Perak tenggelam di Laut China Selatan 28 tahun yang lepas.


"Saya memang suka menulis. Sekarang saya coretkan catatan pengalaman hidup-mati di laut dalam blog saya dan saya harap dapat membukukannya satu hari nanti," kata bekas anggota tentera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.


Buku yang mahu dinukil oleh Ismail menyingkap kembali sejarah hitam membabitkan kapal peronda KD Sri Perak, yang tenggelam berdekatan Pulau Natuna dan mengorbankan tiga anak kapal.


Bekas Laskar Kelas 1 itu membuka bicara bersama penulis dengan berkata pengalaman yang bermula pada tanggal 8 Jan, 1984 adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat.


Walaupun meninggalkan dunia ketenteraan pada 1990, namun Ismail atau lebih mesra menggelarkan dirinya Pak Mail, setiap detik cemas semasa tenggelamnya kapal itu dan pengalaman 72 jam atas pelampung menanti bantuan tiba masih segar dalam ingatan Ismail bagaikan baru saja berlaku.


Sesekali dahinya berkerut apabila menceritakan saat-saat berhadapan dengan maut di tengah-tengah laut yang luas.
HARI KEJADIAN
Pelayaran KD Sri Perak bermula pada 6 Jan, 1984 daripada Pangkalan TLDM di Lumut dengan kapal itu belayar secara konvoi bersama-sama KD Sri Terengganu dan KD Hang Tuah ke Labuan. Ismail adalah antara 29 anggota, pegawai dan pegawai kadet di atas kapal malang itu dan beliau bertugas sebagai pengawal radio.


Separuh daripada anak kapal KD Sri Perak adalah muka baru termasuk Ismail yang baru melaporkan diri pada akhir 1983. Malah Pegawai Memerintah (PM) Kapal, Lt Chandran dan Pegawai Laksana Lt Madya FuadIthnin juga baru ditugaskan atas kapal itu.


KD Sri Perak berada dalam keadaan baik untuk memulakan perjalanan selepas baru menjalani penyenggaraan di limbungan Kuala Terengganu. Pada 7 Jan, konvoi kapal singgah di Tambatan Pangkalan Malaysia di Woodland Singapura untuk bermalam sebelum belayar ke Labuan pada keesokannya bagi siri latihan untuk pegawai-pegawai kadet baru TLDM.


Namun ketika berada di Laut China Selatan, antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak, KD Terengganu yang berada di belakang KD Hang Tuah menghadapi masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua.


KD Sri Perak, yang berada paling belakang di arah menuju ke Labuan sendirian sementara KD Hang Tuah terpaksa mengiringi KD Terengganu untuk mendapatkan bantuan.


"Ketika itu ombak kuat menghempas kapal, hingga anak-anak kapal susah untuk beristirehat atau tidur serta jarak pemandangan amat terhad.


"Akibat hempasan yang kuat itulah dipercayai 'hatch' atau penutup keselamatan atas geladak di hadapan kapal renggang menyebabkan air laut memasuki kapal sedikit demi sedikit," katanya.
DETIK CEMAS
Ketika itu tiada siapa pun yang menyedari air laut telah memasuki kapal dan sekitar pukul 4.30 petang Ismail yang berada di bahagian buritan kapal dikejutkan dengan teriakan berkali-kali dari atas geladak yang menyuruh semua naik.


Kapal berukuran kira-kira 30 metre (100 kaki) panjang itu sudah mula tenggelam. Walaupun sukar mempercayainya, namun beliau tetap naik ke atas untuk mengetahui apa yang berlaku dengan laskar kelas 2, yang dikenali sebagai Ibrahim, memberitahu bahawa air telah masuk ke dalam kapal dari bahagian hadapan.


"Saya pergi ke bahagian hadapan dan mendapati air telah naik sehingga paras betis. Saya kembali ke stesen saya dan terus menghubungi Stesen Radio Markas Panglima Armada, namun tidak berhasil," katanya.


Pelbagai usaha dilakukan untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Ismail turut mencuba membuat panggilan MAYDAY namun tetap tidak berhasil.


"Dengan dibantu Ibrahim, saya tetap cuba untuk berhubung menggunakan radio tetapi tiba-tiba radio GSB 900 kami senyap, kerdipan lampu pada radio terpadam dan radio itu tidak lagi berfungsi," katanya.


Memandangkan haluan kapal semakin tenggelam dan keadaan bertambah cemas, pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapal berkumpul di geladak buritan dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Ismail pada masa itu.


Memandangkan haluan kapal semakin tenggelam dan keadaan bertambah cemas, pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapal berkumpul di geladak buritan dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Ismail pada masa itu.


Menyedari kapal tidak lagi boleh diselamatkan, anak kapal dan pegawai bersiap sedia menerima arahan selanjutnya daripada pemerintah kapal.


Ismail masih ingat dalam suasana kelam kabut itu, ada yang sempat memakai jaket keselamatan dan ada yang tidak memakainya termasuk Ismail.


Juga masih segar dalam ingatan Ismail wajah masing-masing ketika itu, dalam keadaan ketakutan tambahan pegawai pemerintah memaklumkan satu daripada dua pelampung penyelamat di bahagian haluan telah hilang dipukul ombak.


Atas inisiatif laskar kanan Bakar Satiman dan Laskar Kelas 2, yang dikenali sebagai Mokhtar, mereka memotong tali yang diikat pada pendakap dan mencampakkan pelampung keselamatan ke laut.


Haluan kapal ketika itu tenggelam 45 darjah hingga menyebabkan ada di kalangan anak kapal menggelongsor dan terpaksa berpaut pada mana-mana besi untuk menyelamatkan diri dan ada juga yang terjatuh ke laut.


"Ia berlaku terlalu pantas dan kami terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri. Pelampung penyelamat yang dicampakkan ke laut terbuka dengan baik dan kami terus berenang menuju ke pelampung," katanya yang sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di tengah lautan pada kira-kira pukul 5 petang.
SAAT SEDIH
Ismail berkata ketika berada dalam pelampung mereka melihat tiga daripada rakan dalam air dan langsung tidak bergerak.


Mereka ialah Pegawai Laksana Mohd Fuad, Laskar Kanan Kelas 2 Shaharuddin Sharani, 22 dan Mokhtar Amir Nawi, 20.


"Ketiga-tiga mereka memakai jaket keselamatan. Tidak tahu kenapa, mungkin terlalu panik, atau tidak yakin menyebabkan mereka tidak berenang ke pelampung penyelamat walaupun jarak ketika itu hanya dalam 30 meter sahaja.


"Keadaan ombak yang kuat dan tinggi, menolak pelampung dengan kuat mengikut arah angin sehingga dalam beberapa minit sahaja, ketiga-tiga orang itu hilang daripada pandangan," katanya.


"Waktu itu, jam di tangan menunjukkan pukul 5.05 petang. Walaupun sedih dan sesal kerana tidak mampu membantu tiga rakan itu, namun tidak ada apa yang mampu dilakukan melainkan berdoa agar bantuan cepat sampai.


"Bersyukur kerana kejadian itu berlaku pada petang, kerana masih siang. Jika malam, mungkin lebih ramai lagi yang menjadi korban," katanya.


Tetapi pelampung penyelamat yang hanya boleh menampung 15 orang, kini menampung 26 orang dalam keadaan berhimpit-himpit dengan masing-masing berada dalam posisi yang sama sepanjang masa.


Peralatan survival yang terdapat dalam pelampung penyelamat itu, seperti air tin, biskut, alat memancingdan beberapa bahan lagidikongsi bersama-sama.


"Ketika itu air menjadi keperluan yang amat penting. Dengan jumlah yang ramai bekalan tak cukup, jadi kami banyak bergantung kepada air hujan untuk diminum sepanjang 4 hari tiga malam di tengah lautan," katanya.
HARI YANG PANJANG
Semasa terapung di laut tanpa arah, masa berlalu amat perlahan, katanya.


Berada di tengah lautan luas terbentang, dengan hanya berbumbungkan langit, berhimpit serta tidak diketahui nasib seterusnya membuatkan masing-masing melayan perasaan sendiri.


Kebanyakan anak kapal masih bujang, termasuk Ismail yang ketika itu berusia 26 tahun.


"Hanya tujuh atau lapan orang sahaja yang telah berumahtangga ketika itu. Mungkin perasaan mereka berbeza dengan saya kerana tanggungjawab berat yang dipikul sebagai suami dan bapa.


"Saat itu, kami membantu menaikkan semangat antara satu sama lain, malah ketika itu langsung tidak terlintas di fikiran saya tentang takdir yang menunggu kami," katanya.Kegelapan malam, diikuti dengan hujan serta ombak kuat membawa mereka entah ke mana dengan hujan turun pada dua malam.


"Pada malam pertama itu, kami melihat satu cahaya terang jauh di ufuk iaitu sebuah kapal dagang yang bergerak seakan menghampiri kami. Saya mengambil pistol kecemasan 'flare' untuk dinyalakan bagi menarik perhatian kapal, selain beberapa rakan menjerit-jerit minta tolong.


"Tapi sebab alunan ombak kuat, ditambah kegelapan malam, sukar bagi kapal tu melihat kami yang kecil di lautan yang luas dan kami hanya mampu melihat dengan kecewa kapal itu berlalu," katanya.


Ismail juga tidak melupakan kenangan bersama sekumpulan ikan lumba-lumba yang mengiringi dan menghampiri pelampung mereka padawaktu siangnya.


Masuk hari ke dua dan ketiga di tengah lautan, kekuatan hati mula tercabar dan masing-masing mula merasa bimbang akan nasib yang bakal menimpa sekiranya bantuan tidak juga datang.


Dengan kaki yang kejang, kerana tidak boleh bergerak atau berlunjur dalam keadaan berhimpit-himpit itu, serta tidur yang hanya sekadar melepaskan pedih di mata, cukup mencabar emosi dan fikiran ketika itu.


"Bekalan makanan yang ada di pelampung juga semakin kehabisan. Masing-masing sudah mula bersuara meluahkan kebimbangan. Ada yangmerintih meluahkan rasa sedih sekiranya ajal datang, terutama yang telah ada keluarga. Semua itu sukar untuk diungkapkan ketika itu," luahnya.
BANTUAN TIBA
Pada hari keempat, 11 Jan mereka berdepan dengan masalah baru.


Pelampung itu semakin kekurangan angin membuatkan perasaan bertambah bimbang.


Menjelang tengah hari, hujan sederhana lebat turun dan dengan air itu ditadah untuk diminum.


Selepas hujan berhenti, tiba-tiba, mereka mendengar deruan enjin yang kuat di udara dan melihat sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera Udara Australia terbang rendah. Pesawat itu adalah daripada pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.


Ismail berkata, beliau dan semua di atas pelampung melambai-lambaikan tangan ke arah kapal terbang itu dan ketika itu kegembiraan jelas terpampang pada raut wajah masing-masing, malah ada yang menangis menjerit kesyukuran termasuk dirinya.


"Kapal terbang itu membuat satu pusingan dan kembali semula sambil melepaskan tembakan 'flare' di empat penjuru pelampung kami untuk menandakan lokasi.


"Kemudian juru terbang membuat pusingan sekali lagi dan menjatuhkan bungkusan plastik berisi makanan dan minuman sebelum berlalu," katanya.


Lebih kurang satu jam kemudian, pada lebih kurang pukul 5 petang, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil kesemua yang terselamat.


Beliau berkata, ada antara anak kapal yang terpaksa dipapah naik ke atas kapal kerana lemah dan kejang di kaki.


Kesemua mereka kemudiannya diberi layanan dan makan minum di atas kapal itu sebelum mereka diambil pula oleh kapal KD Mahawangsa untuk diberikan bantuan sewajarnya.


Keesokkan harinya, 12 Jan, dua buah helikopter Nuri membawa mereka ke Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbang ke Ipoh.


Mereka disambut oleh Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Mohd Salleh dan pegawai-pegawai kanan lain. Usaha mencari dan menyelamat tiga orang yang hilang di lautan terus dijalankan namun mereka gagal ditemui.
BUKUKAN PENGALAMAN
Beliau berkata setelah 28 tahun berlalu, tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang sama-sama terlibat dalam tragedi itu membicarakan dan berkongsi pengalaman pahit. Semuanya bagai tertutup rapi dalam kenangan masing-masing.


"Saya harap hasrat untuk membukukan pengalaman itu akan terlaksana. Ini sebagai satu tanda kenangan peribadi saya untuk anak dan cucu nanti," katanya yang telah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak berumur antara 17 dan 23 tahun.


Ismail yang kini bekerja sendiri, sedang berusaha mengesan rakan-rakan yang terlibat untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka untuk dibukukan.


"Hanya yang melalui dan merasainya tahu bagaimana keadaan ketika itu dan saya adalah antara yang terpilih untuk melaluinya dan bersyukur masih hidup dan dapat berkongsi pengalaman itu," katanya mengakhiri perbualan. - MStar

View the original article here

Saturday, 26 April 2014

KISAH SERAM DI PETRONAS JALAN SUBANG AIRPORT



Ini merupakan pengalaman dan kisah benar seorang lelaki yang mana sangat menyeramkan. Kejadian berlaku di Petronas Jalan Subang Airport.


Aku nak kongsi cerita dengan korang semua apa yang aku alami malam tadi, selalunya setiap hari Isnin dan Khamis aku ada game badminton, mula jam 09.00pm hingga 11.00pm, seperti biasa kalau ada game badminton aku akan lepak di ofis, buat apa yang patut sementara menunggu waktu game tu start.


Sebabnya nak ulang alik rumah ke dewan tu jauh beb…. Jimat kos konon-kononnya, selalunya bila nak pergi main badminton aku akan usung laptop aku, sebab habis game terus balik rumah. Tapi semalam entah apa punya angin atau buang tebiat agaknya… aku plan lepas badminton pergi ofis siapkan kerja sikit, ambil laptop dan balik… bodoh punya perancangan.


Selesai badminton lepak ngan kawan-kawan minum kat mapley, sampai ofis dah jam 12.00 lebih, mengadap laptop sempat la buat posting yang cut and paste jer… tu yang kat bawah tu, nak siapkan kerja konon… hampeh… badan letih boleh perah otak ke… tup-tup masuk pulak sms dari Puan Permaisuri berbunyi “Balik pukul berapa, tolong beli susu Aleeya dah habis, sori lambat bagitau”, aku jawap ” Ok…” jer…,


Kepala otak menerawang… kat mana aku nak beli tengah malam buta ni…, sambil kemas barang dan kunci ofis, cari kat kedai tujuh sebelas takda… merayau cari dan cari jumpa juga akhirnya tapi paket kecil, boleh la… janji ada stok buat sementara dan si kecil aku tu tak kelaparan malam ni, usaha tangga kejayaan beb.


Dalam perjalanan balik, aku singgah di Petronas Subang Airport untuk mengisi minyak, waktu tu lebih kurang sudah pukul 2.00am macam tu lah… selesai isi minyak sewaktu nak keluar dari kawasan stesyen minyak tu…., aku rasa lain macam jer…. bila masuk jalan besar… aku rasa kereta aku berat semacam dan bulu roma meremang semacam jer… dalam hati aku berkata “something wrong somewhere” dan aku lihat cermin pandang belakang.. pergh… berderau darah aku dan mulalah tak tentu arah….


Dalam pada itu aku buat-buat pandang ke kerusi sebelah kiri sambil menjeling ke belakang… alamak kompom ada something kat kerusi belakang …, lepas tu…. aku cuba nak alihkan cermin pandang belakang… tapi risau pulak nanti aku tak nampak aktiviti dia kat belakang, buatnya dia hulur tangan kat leher aku lagi naya…nak tak nak tabahkan hati dan kontrol macho….


Tiba-tiba jer aku dah mula berpeluh kerana terkejut dan gabra…, bila aku dah dapat kontrol diri dan hilang rasa panik, mental dalam keadaan stabil aku mula baca apa yang patut dan bercakap dengan minah yang tak di undang ni, rambutnya lurus menjurai melepasi bahu dan berbaju hitam ke kelabu aku tak pasti… kerana dalam keadaan samar berharapkan lampu jalan… mungkin baju lusuh dah lama tak basuh agaknya… sayangnya muka dia aku tak nampak… adakah secantik model kapal selam atau secantikmodel Indonesia yang berumur 17 tahun tu atau seiras Angelina Jolie… aku tak pasti


Aku kata padanya “Engkau makhluk, aku pun makhluk, Pencipta kita ALLAH SWT, bezanya aku ini makhluk yang dimuliakan, engkau naik kereta aku tanpa izin, aku hantar kau ke tempat kau naik tadi, dan aku nak kau turun di situ” korang bayangkanlah suara aku bercakap masa tu.. tergagap… gagap… macam MB Selangor tu… kalau akad nikah sah kena ulang berpuloh kali… tapi nak buat macam mana, darurat…beb… itu pun aku bersyukur pasal dia tak menjawap balik… kalau tak macam manalah suara dia… sure lentok habis macam si minah di belakang kowloon agaknya…


Sesiapa yang tahu jalan dari Subang Airport menghala ke lebuhraya persekutuan boleh agak berapa jarak jauhnya, nasib baik sekarang ni dah ada U-turn kat Ara Damansara, so aku buat U-turn kat situ dan menghala ke arah bulatan Subang Airport untuk buat u-turn sekali lagi menghala ke Stesyen Petronas tadi…, tapi seksanya kereta aku punya berat tak tau nak dibayangkan….. terasa macam pandu 30km sejam dengan beban kayu balak 50tan untuk sampai ke Petronas tu


Sambil memandu sambil menjeling cermin tengok dia ada lagi ke tak ada… aku tak tau nak meluahkan macam mana perasaan aku waktu dan ketika itu, yang pasti mulut aku berkumat kamit baca ayat qursi dan bermacam lagi dengan zikirullah, jiwa aku, dadaaku, perut aku semuanya tak tenteram… barcampur baur jadinya… tapi minah tu cool aje kat tempat duduk belakang… macam takda apa-apa jer…. tak terasa panas ke dengan ayat-ayat cinta yang aku baca tu… pelik juga… atau aku yang tersalah mengungkapkan ayat-ayat cinta padanya… pasal tu takda respons…kecewa betul…


Sampai jer… kat petronas tadi, aku berhentikan kereta dan turunkan cermin tingkap belakang kiri dan kanan sambil cakap kat dia ” Ok… saudari kita dah sampai… boleh turun di sini” sambil menjeling cermin pandang belakang… alamak apasal dia ada lagi… tak nak turun ke… dah la aku jadi drebar tak berbayar, takan nak suruh aku bukakan pintu pula… kacau macam ni…dalam waktu fikiran aku berkecamuk tu tiba-tiba terperasan ada kereta bagi lampu tinggi dan secara automatik aku menoleh ke arah cermin sisi sebelah kanan, apabila aku toleh semula ke cermin pandang belakang… minah tu dah takda…, aku pusingkan badan menoleh ke belakang untuk kepastian…. wokeh … kompom dia dah blah… masa bila dia keluar pun aku tak tau… pantas betul…


Aku tadah tangan, berdoa.. ucapkan syukur alhamdulillah… aaminnn…. dan ucapkan selamat jalan kat dia suruh dia takecare and becareful dan aku pun apalagi… pecut kereta semahunya… aku tekan pedal minyak rasa ringan semacam jer… berdesup perginya… tengok meter… fuhhh… 160… aku slowdown… sambil-sambil tu mata meliar juga dengan harapan dia tak follow aku lagi…. manalah tahu dia terlupa nak ucapkan terima kasih masa turun tadi… sambil terbang kat tepi tingkap.. tapi ada bau wangi yang ditinggalkan… macam bau bunga melor kalau tak silap aku… dan aku pun malas nak ambik pot… sangat… pasal bau tu… janji aku selamat.


Sampai jer… di luar pagar rumah… aku teringat pesan orang tua-tua… aku pun tak jadi masuk rumah dan pergi lepak sorang-sorang pekena teh tarik dulu kat restoran mamak sambil layanastro, dalam setengah jam baru balik rumah, baca-baca apa yang patut, basuh kaki, ludah kiri kanan dan masuk rumah…. cumanya aku tak boleh tidur dan lelapkan mata…. masih terbayang-bayang lagi pada minah tu…. adakah aku dah jatuh cinta padanya…. ha..ha..ha… minta laluan… minta…laluan… idak ler…teman…


Saat aku taipkan cerita ini sekarang, aku masih berfikir dan merenungkan perkara malam tadi tuh… mungkin ada hikmahnya dan aku masih tercari-cari lagi jawapannya… apa pun syukur alhamdulillah… sifat takut dan panik dapat aku atasi walaupun kecut perut jugak dibuatnya.


Lagipun mungkin kerana pengalaman dengan ganguan makhluk halus sebelum-sebelum ini membuatkan aku terkawal sikit, walaupun terkejut pada mulanya… padahal sebelum ini aku hanya bertemu sipi-sipi jer dan dari jarak jauh…. bukannya face to face macam ni dalam suasana yang agak lama masanya.
Nasihat serta petua orang-orang tua yang aku gunakan pun banyak membantu… dan tak lupa juga nasihat secara lansung dan tidak lansung dari Ayahanda Mountdweller yang luas pengalamannya dalam dunia mistik pun banyak membantu juga.


Jadi itulah pengalaman “Jangan Pandang Belakang” yang terjadi pada aku malam tadi yang aku dapat kongsikan dengan kalian semua, dan aku berharap perkara ni takan berulang lagi… tapi kalau korang nak cuba boleh juga, pergilah test kat tempat yang aku cakapkan tu… manalah tahu ada rezeki korang berjumpa dengan si dia tu… untung sabut timbul… boleh buat bini


Sebelum ini pun ada juga aku dengar cerita berkenaan Langsuir kat Bulatan Subang Airport tu, cumanya tak sangka boleh berlaku pada aku malam tadi… aku ingatkan hanya rekaan semata-mata… rupanya real…. wa cakap lu…. tapi aku rasa ini hantu baik la agaknya… sebabnya dia tak cekik aku dan dapat aku berkongsi cerita ni dengan korang semua.


by Tupai Terbang

View the original article here